“3A Seja?”

Riuh pula timeline Facebook saya dengan keputusan UPSR. Pelajar sedih sangat nampak keputusan dorang. Dengan segala post-post pasal UPSR ni, saya terus teringat masa ambil keputusan UPSR pada tahun 2003.

Jam 7 pagi saya bangun, walaupun masa itu sudah cuti sekolah bagi pelajar sekolah rendah. Selepas selesai bersiap, saya terus bertolak ke sekolah. Jarak dari rumah ke sekolah pada masa itu hanya mengambil masa 10 minit jika berjalan kaki. Sepanjang perjalanan ke sekolah, kena lalui dulu hutan-hutan baru jumpa padang sekolah.

Bila sampai di bilik tempat kami ambil keputusan UPSR (lupa sudah bilik apa tu, macam bilik kerani). Cikgu yang mengajar kami mata pelajaran Kemahiran Hidup datang kepada saya. Dia hulurkan tangan tanda nak salam. Bila saya salam cikgu, dia pun berkata “Kau punya Matematik dapat C”. Sikit lagi saya nangis masa Cikgu cakap macam itu. Lepas itu, dia cakap “Tidak bah.. cikgu pun belum tengok lagi keputusan kamu.” Nasib belum pitam.

Selepas saya ambil keputusan UPSR. Saya tengok slip keputusan. Saya dapat 3A 2B.

  • Bahasa Melayu Penulisan (A)
  • Bahasa Melayu Pemahaman (A)
  • Sains (A)
  • Bahasa Inggeris (B)
  • Matematik (B)

Saya dari dulu sampai sekarang memang bermasalah dalam subjek Bahasa Inggeris dan Matematik. Ada sebab itu kenapa saya tidak suka 2 subjek ini. hahaha..

Okay, berbalik kepada cerita asal. Selepas sahaja saya tengok keputusan UPSR saya. Punyalah saya sangat sangat sangat gembira. Saya terus berlari pulang rumah sebab tidak sabar nak bagitahu mak bapa saya dengan keputusan saya ni. Sampai hutan yang gelap tu pun saya tidak takut sudah nak lalu tau sebab sudah terlalu gembira. Saya rasa cemerlang keputusan saya nih sebab saya tidak belajar pun sepanjang saya darjah 6 tu. Belajar dalam kelas seja. Buat rujukan di rumah memang tidak sempat sebab masa pertengahan tahun 2003 tu kami sibuk pindah rumah.

Bila saya sampai rumah, saya terus pergi tempat mak saya. Dengan hati gembira macam dunia ini saya punya, saya bagitau mak pasal keputusan UPSR saya..

“Mak.. Saya sudah ambil keputusan.”
“Berapalah kau dapat?”
“3A 2B”
“3A seja? Itu seja kau boleh dapat?”

Mak jawab dengan nada macam 3A itu tidak cukup untuk diberi kesyukuran. Senyuman saya sampai telinga terus hilang. Perasaan gembira sesat entah ke mana. Saya terus beredar masuk dalam bilik. Saya renung slip keputusan UPSR saya. Saya cari kesalahan. Apa salah dapat 3A? Walaupun mak rasa keputusan nih tidak begitu baik, tapi 3 A yang ada dalam slip itu masih macam emas saya nampak. Haha..

3A UPSR TIDAK CUKUP?

Kalau sekarang pelajar yang ambil UPSR menangis nampak keputusan 3A sebab tidak seperti yang mereka sangkakan. Saya pula menangis sebab 3A tidak cukup puaskan hati orang yang saya sayang.

Saya nak pesan untuk ibubapa di luar sana. Walau apa pun keputusan anak-anak kamu yang menduduki peperiksaan UPSR itu tidak seperti yang kamu sangkakan, jangan sesekali tanya dia soalan kenapa itu sahaja yang dia boleh dapat. Kena tengok dulu diri sendiri. Kamu sebagai ibubapa ada luangkan masa ajar anak-anak semua mata pelajaran yang mereka perlu ambil masa UPSR? Ada? Kalau tiada baik belanja anak makan KFC seja lepas dorang dapat keputusan UPSR.

Lagi satu, tolonglah jangan bandingkan anak-anak kamu dengan anak orang lain. Membandingkan anak sendiri dengan anak orang lain sama macam membandingkan diri sendiri dengan ibubapa anak yang kamu bandingkan dengan anak kamu. Kecundang masa UPSR tidak semestinya dia mengemis di kemudian hari. Yang penting ibubapa kena mainkan peranan supaya anak tidak down sampai bila-bila.

Sekian perkongsian saya hari ini. Kita jumpa di entri akan datang. xx

 

Yours Truly,
Small Mom Big Stories – From Parents to Parents
Continue Reading